Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat ke Majlis Resepsi Makan Malam IFF
29/04/2024

dpmm_290424.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan, yang juga selaku Pengerusi DPMM FC dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Resepsi Makan Malam sempena Imagine Football Fiesta (IFF). 

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj selaku Naib Pengerusi DPMM FC; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets;  Pengerusi Imagine Sdn. Bhd., Dayang Noorsurainah binti Haji Tengah dan Pengarah di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On Hsien Yung yang juga selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Imagine Sdn. Bhd.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah. 

Sejurus keberangkatan, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan beramah mesra bersama para pemain bola sepak legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) dan seterusnya dijunjung bergambar ramai bersama para pemain Pasukan DPMM FC dan EPL serta Ahli-ahli Jawatankuasa IFF. 

Dalam sembah alu-aluan Pengerusi Imagine Sdn. Bhd., Dayang Noorsurainah berkata, IFF yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, bertujuan untuk menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035.

Program ini tambahnya dimulakan dengan Klinik Bola Sepak Belia yang dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam dan Legenda Bola Sepak Dunia (World Football Legends), di mana ia disusun sebagai satu sesi perkongsian bagi para jurulatih dan kelab-kelab bola sepak tempatan dengan objektifnya untuk menyediakan atlet-atlet peringkat akar umbi dengan peluang yang jarang ada untuk belajar daripada legenda bola sepak bertaraf dunia.

Beliau seterusnya menyembahkan, IFF bukan sekadar menganjurkan perlawanan bola sepak, bahkan ia bertujuan untuk menyokong bagi merapatkan jurang dalam matlamat mampan (sustainability goals) dan seterusnya menggalakkan semangat kemasyarakatan.

“Dalam dunia di mana kita melihat peningkatan dalam ekstremisme, pengasingan dan keganasan, kami berharap melalui usaha kecil ini, kami akan berjaya menyatukan semua orang melalui kecintaan kami terhadap bola sepak sebagai sukan yang menyatukan negara kita bersama," ujarnya.

Menurutnya lagi, acara tiga hari itu menghimpunkan kerjasama lebih 200 sukarelawan belia daripada Program Khidmat Bakti Negara, Unit Sukarelawan Belia dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, FABD, Comquest dan daripada Progresif Sdn. Bhd. 

Pada majlis tersebut, DYTM berkenan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja acara IFF.

Kemuncak IFF ialah perlawanan persembahan antara DPMM FC dan Legenda EPL yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 30 April 2024 ini.

Dianjurkan oleh Imagine Sdn. Bhd, IFF dihasrat untuk menyatukan peminat bola sepak, keluarga dan masyarakat di negara ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​